Sign In
Mobirise Website Builder
25.10.2017 | 15 lagi peserta memperdengarkan bacaan

Seramai 15 peserta qari dan qariah Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara Kelapan 2017 memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mereka pada hari kedua musabaqah berkenaan yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi; Menteri Hal Ehwal Dalam Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Turut hadir, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli Mesyuarat Negara dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Tilawatil Qur'an Belia Asia Tenggara Kelapan 2017.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang.

Peserta pertama yang memperdengarkan bacaan ialah qari dari Republik Filipina, Mohamiden Bangkailan Umpong yang membaca Surah An-Nisaa.

Juga memperdengarkan ialah peserta qariah negara, Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri yang membaca Surah Ar-Ra'd.

Antara peserta yang memperdengarkan bacaan masing-masing termasuklah dari Indonesia; Timor Leste; Myanmar; Kemboja; Laos; Singapura dan Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada Golongan Kelab Komuniti dan Transformasi, Pusat Belia dan Kumpulan Az-Zayyan.

Musabaqah Tilawatil Quran Belia berkenaan disertai oleh belia-belia Islam berusia 18 hingga 30 tahun dari negara-negara di rantau Asia Tenggara, iaitu Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Republik Kesatuan Myanmar, Republik Singapura, Republik Soaialis Viet Nam, Thailand dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah.

Buat julung kalinya, negara mengundang qari dan qariah dari Republik Demokratik Timor Leste.

Musabaqah yang diadakan selama tiga malam bermula 24 Oktober itu akan diteruskan lagi esok malam.


Sumber : Pelita Brunei

Attachments